Tuesday, November 19, 2013

Kehidupan Anak & Ibu Bapa


Maka, apabila kamu bersyukur, Allah menambahkan nikmat kepadamu. Jika kamu bersabar, Allah memberikan ganjaran pahala kepada dirimu. 

Kali pertama, aku tidak tahu mengapa. Allah mendetikkan diri untuk meng'clerk' makcik tersebut. Dan Dialah jua yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Seorang nenek, berumur 80 tahun. Berkahwin 2, namun anaknya seorang. Tidak ada anak atau cucukah? Tidak! Semuanya diambil Allah dalam jangka masa yang sangat singkat. Anak perempuannya yang seorang, setia menunggu sang ibu yang dimamah usia.

Dan Allah jua menghantar aku kepada seorang pakcik itu. Umur, 73 tahun. Anak 3. Namun, tidak seorang pun yang sanggup menunggu ayahnya di hospital. Ibunya pula sakit tua di rumah. Siapa yang menjaga? Aku tidak sanggup bertanyakan. Pak cik mula berair mata bila aku bertanyakan tentang anak-anaknya.

Aku tidak tahu kondisi mana yang lebih baik. Tapi, Allah mengetahui mana yang lebih baik bagi mereka. Dan, Allah membuka mataku. Setia dan kasih sayang seorang anak itu amat didamba oleh ibu bapa terutama apabila menjengah usia tua.

Quote seorang sahabat istimewaku: " Salah satu pengisian dalam khutbah Jumaat minggu lepas. Petanda awal anak akan derhaka kpd kedua ibubapanya adalah apabila ibu bapa bertanyakan khabar terhadap anaknya. Sedangkan anaknya yg patut bertanya khabar dahulu kpd ibu bapa (Imam Ghazli)"

Cerita aku

Setelah memasuki alam universiti, barulah aku mampu bersyukur dikurniakan kedua ibu bapaku. Mungkin di mata orang lain mereka tidak sempurna, tapi bagiku mereka amat sempurna. Lumrah rumahtangga, pasti ada tawa gembira dan sedih kecewa. Dan, kita sebagai anak, pastilah melalui kondisi itu.

Dulu, di bangku sekolah rendah. Aku memang tidak mengerti apa. Baba yang bekeng. Umi yang kesibukan. Tapi... kenangan-kenangan kecil inilah yang melekat di memori aku sampailah sekarang.

Di sebalik garangnya Baba, rotan dan tangannya tidak pernah melebihi bahagian betis. Dan 'hadiah' yang diterima semasa kecil, bila difikirkan balik semasa besar, diri mampu menerimanya. Baba tidak pernah jemu membersihkan hidung si kecil yang nakal ini setiap kali ke tadika dan sekolah rendah. Baba juga tidak pernah lupa membawa si kecil ini makan pagi dan membeli bekalan kuih utk dibawa ke sekolah. Akhirnya, tabungku asyik penuh setiap tahun.

"Baba tak sekolah tinggi. Sijil Menengah Rendah pun tak berpeluang untuk ambil. Tapi, Baba nak anak-anak Baba berjaya. Baba juga tak pandai mengaji Quran, dan Baba harap bila satu hari lagi, ada bekalan yang dikirmkan kepada Baba nanti"-Baba

Bila aku teringat akan kata-kata ini, air mata aku pastinya bergenang. Berfikir, mampukah aku?

Umi, di sebalik kesibukannya, Umi tidak pernah lupa menyediakan makan mingguan dan baju raya setiap tahun. Dan semasa kecil, aku mengaku tidak pernah rasa rapat dengan umi, mungkin disebabkan kesibukan. Tapi, bila umi pencen, aku dapat merasai masa yang umi cuba luangkan bersama-sama anaknya sekarang.

Ingat lagi, saat aku pulang ke rumah. Pulang dengan hati yang tidak tenang. Hati seorang remaja, yang tersuka kepada seorang remaja lelaki. Kawan sekelas pula itu. Saat itu, di bilik solat, air mata ku mengalir. Umi baru selesai solat. Memandangku lalu membelaiku. Air mataku lantas laju mengalir. Bila esakku reda sedikit, barulah umi tanya kenapa.

Saat itu, walaupun segan, tapi aku paksa diri meluahkan kepada umi. Dan beban dalam hati itu, semakin ringan. Nasihat umi, "Itu perkara biasa Fah. Tapi, waktu ini Fah prepare je diri Fah. Jangan pernah meluahkan Fah suka dia, biarlah pada satu hari nanti bila dia memang sukakan Fah, dia sendiri yang datang. Lagipun, dia lelaki. Dan, Fah perempuan. Nanti akan tiba jua waktunya." Dan, sampai sekarang aku menuruti nasihatnya.

Anak-anak, jika tak ditanya kepada ibu bapa, ingin ditanya kepada siapa lagi? Anak-anak, takkan dari kecil sampai besar ingin menyusahkan ibu bapa lagi?

Kepada kita, seorang anak. Jadilah seorang anak yang merupakan permata kepada ibu bapa. Yang mendoakan serta menenangkan. Moga, kita tergolong dalam ahli syurga yang menyayangi kedua ibu bapa kita.

Wallahua'lam.




No comments:

Post a Comment