Tuesday, January 21, 2014

Tuanku Zulhilmi (Bab 1 )




                Negara Pertama Jiwa kelihatan damai malam itu. Bintang dan bulan tidak malu untuk mengeluarkan cahayanya bagi dilihat manusia-manusia yang rindukan khayalan. Namun, pada satu saat, Zhuush! Satu angin kencang bertiup kuat pada malam itu di Negara Permata Jiwa. Kekecohan kedengaran sekejap di pekan kedengaran namun kekecohan itu akhirnya hilang beberapa minit setelah tiada angin kuat susulan yang melanda.

                Tuanku Zulhilmi tidak sedap hati selepas itu. Petanda yang buruk bagi negaranya. Namun, dia tidak tahu apa yang bakal melanda negaranya. Selama beberapa tahun ini, beberapa negara di selatan dunia telah berjaya ditakluk oleh Raja Yabudi. Seorang yang sangat kejam dan dikatakan mengamalkan ilmu hitam dalam pentadbirannya. Tapi, Raja Yabudi itu tidak pernah berada tetap di sesuatu tempat, seperti Raja Yabudi itu berasa tidak selamat di satu tempat pada waktu yang lama. Berita-berita bahkan satelit-satelit yang berada di luar angkasa tidak mampu menjejaki dia. Heboh seluruh dunia akan perkara tersebut ibarat ada kabus hitam atau awan hitam yang menutup pergerakan kesemua bala tentera Raja Yabudi.  

                Tuanku Zulhimi menghembuskan nafasnya dengan kuat. Dia bersedia untuk menyelusup keluar dari bangunan tinggi yang dipanggil istana tersebut. Sudah 2 minggu dia melakukan kerja ini. Bermula apabila dia menjumpai sebuah pintu di belakang rak bilik bacaan yang diwarisi dari datuknya, menembusi satu ruang yang diisi dengan meja tulis, sebuah lampu meja dan kerusi serta lengkap dengan makanan yang dijeruk cukup untuk 2 tahun bekalan. Dia memulas tombol pintu yang berada di dalam bilik tersebut. Cahaya memasuki matanya. Akhirnya, dia di sini. Tempat yang dia berada sekarang. 5 km daripada bangunan tinggi tersebut yang di panggil Istana Pelangi.

Zulhilmi berlalu pergi. Berlari. Tidak mahu dirinya disedari hilang dari katil besar tempat dia berehat. Menyelusuri jalan panjang yang hanya menjadi satu-satunya jalan dari istananya ke kawasan perumahan yang diduduki rakyat yang disayanginya. 15 minitnya, akhirnya dia sampai ke kawasan perumahan rakyatnya. Tiada seorang pun rakyatnya berkeliaran. Mungkin semuanya sedang nyenyak tidur dalam kedamaian.

Perkara pertama yang menjadi kebiasaannya apabila datang ke pekannya ialah menjejakkan kakinya ke sebuah taman yang terjaga rapi terletak tidak jauh dari pekan. Suka dia di situ. Tenang. Biasanya dia akan membaringkan diri buat 30 minit melihat bintang sebelum berjalan mengelilingi pekannya melihat-lihat rakyatnya.

“Allah itu Yang Maha Mengetahui,
Allah jua Yang Maha Menyelamatkan,
Namun,
Manusia itu selalu bongkak dan lupa,
Sentiasa membelakangi Tuhannya,
Hingga,
Sanggup membunuh sesama saudara,
Sanggup memaksa membiarkan mereka,
Terus,
Merayu-rayu sengsara membantu,
Hingga mereka sanggup mati,
Tidak sanggup berada di dunia fana ini,
Lagi…….”

                Telinganya tertangkap suara merdu yang mengungkap kalimat-kalimat kehidupan. Kali pertama dia mendengarnya. Bangun dari pembaringannya melihat bintang, mencari-cari  suara yang didengarinya. Terpandang bayangan seorang perempuan termenung jauh di atas rumput sambil memandang bulan yang bercahaya. Selendangnya mengibar-ngibar mengikut angin. Zulhilmi cuba mendekati.

Krik! Bunyi dahan patah dipijak olehnya mematikan kalimat-kalimat yang diucapkan oleh perempuan tersebut. Perempuan tersebut berpaling, sekilas melihat bayangan seorang lelaki, dia terus berlalu laju.

“Cik! Cik!” Zulhilmi cuba mengejar namun perempuan itu tidak mahu berhenti.

Akhirnya hilang ditelan kegelapan malam. Walaupun rasa ingin tahunya meninggi, namun, melihat kepada jam di tangannya, dia membatalkan hasrat untuk mengejar perempuan tersebut. Tugas sebagai pemimpin rakyatnya perlu didahulukan. Akhirnya, dia berjalan ke pekannya untuk memantau kawasan perumahan rakyatnya. Setelah selesai, dia kembali pulang ke bilik besarnya yang dihias oleh kemilau emas keputihan. Setelah sujud mengabdikan diri, dia mengatur dirinya mengambil rehat sebelum bangkit mengerjakan sebagai hamba-Nya pada Subuh nanti.
………………………………………………………………..................................................

“Tuanku, ibunda tuanku memanggil.” En. Ishtiaq memaklumkan apabila melangkah masuk ke dalam biliknya.

Umurnya baru 21 tahun. Namun, bahunya telah digalas dengan tanggungjawab untuk mentadbir negara sejak 3 tahun lepas setelah ayahandanya ditembak semasa berucap dalam kalangan rakyat. Ayahnya tidak pernah takutkan kepada sesiapa dan ayahnya tidak pernah meminta pengawal peribadi melainkan En. Ishtiaq sebagai orang kepercayaan untuk menjaga keselamatan dan sebagai kawan suka duka. Dan, En. Ishtiaq itulah yang menjadi penganti ayahnya sejak 3 tahun lepas di samping pengawal peribadinya.

Zulhilmi tersenyum. Mengangguk. Baru melepaskan lelahnya daripada belajar Statistik dengan mengerjakan 2 rakaat Dhuha. Zulhilmi tanpa lengah melangkah menuju ke bilik ibundanya yang tercinta.
“Bonda memanggil anakanda?” Kelihatan Zulhilmi yang kemas berpakaian melangkah ke dalam bilik ibunya.

“Ke mari anakanda. Kenalkan ini kawan ibu. Datin Yersinia. Baru sahaja pulang dari Australia sejak 10 tahun lalu bersama anak perempuannya.” Ratu Ilina  menunjukkan Datin Yersinia dan anaknya, Balqishah. Zulhilmi menyalami Datin Yersinia dan menunduk hormat kepada Balqishah.

“Sopan anak awak, Ilina. Rasanya 10 tahun dahulu masih menjadi anak yang degil dan keras kepala.”

“Kehidupan banyak mengajar dia, Yersinia. Apa kata Zul bawa Balqishah berjalan-jalan sekitar pekan yang berdekatan?”

                Zul hanya menurut. Tidak mahu memalukan ibunya yang melahirkan dirinya walaupun dirinya agak tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana masanya masih banyak perlu dicurahkan untuk berbakti kepada rakyatnya. Tapi, dia akur. Itu ibunya walaupun pandangannya dan ibunya amat berbeza.

                Zul banyak terdidik dengan sikap sederhana ayahandanya, Raja Zulrashid. Yang tidak sukakan kemewahan melampau, suka membantu orang lain, memperjuangkan hak-hak rakyatnya yang sepatutnya, selalu merasakan dirinya rendah dari sesiapapun dan hanya meletakkan Allah di hati. Berbeza dengan ibunya. Walaupun disuruh ayahnya memakai tudung, tapi ibunya enggan walaupun bajunya masih sopan. Ibunya juga kurang mengambil berat tentang solat seharian. Sukakan kemewahan. Mungkin kerana didikan keluarga diraja ibu yang lebih kebaratan. Disebabkan perkahwinan aturan, maka, dia yang dihasilkan. Dia akur akan takdir hidupnya. Sejak 3 tahun lepas, dia yang menggalas tugas ayahnya untuk tidak jemu mengajak ibunya ke pangkal jalan.

                Melihat kepada Balqishah. Istighfar dirinya. Bahunya yang putih terdedah. Bergaun serba kebiruan. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas. Cantik tapi kecantikannya tidak dijaga dengan sepatutnya. Zulhilmi menundukkan pandangannya. Menunduk hormat kepada ibunya dan meminta izin untuk mempersiapkan diri.
…………………………………………………………………………..........................................

“Can you give me a favour?” Zulhilmi bertanyakan Baqlishah.

Baqlishah mengangguk sopan. Zulhilmi membuat isyarat mata kepada En. Ishtiaq.

“Tolong pakai ini. Harap awak tak keberatan.” Zulhilmi mengambil kot biru sederhana panjang berbulu lembut yang sedondon warna dengan gaun Balqishah lalu menghulurkan kepadanya.Pipi Balqishah kemerahan. Segan. Terus mengambil kot tersebut unuk menutup badannya yang terdedah.

“Awak lebih cantik apabila kecantikan awak disimpan rapi untuk yang selayaknya.” Zulhilmi memberi senyuman manisnya sambil membuka pintu belakang kereta Mercedes merah kesayangannya.

“Silakan, Puteri Balqishah.” Setelah Balqishah masuk, pintu ditutup.  Balqishah berasa pelik apabila Zulhilmi bukan membuka pintu di sebelahnya tetapi membuka pintu di sebelah pemandu.

“Jom! Ayah Ishq pandu ya.”

En. Ishtiaq tersenyum dan mengangguk lalu mengambil tempat pemandu. Zulhilmi bukan seperti kebiasaan putera yang lain. Tidak suka untuk membiarkan En. Ishtiaq yang dianggap seperti ayahnya itu terasa seperti pemandu.

Di dalam kereta, borak bicara Zulhilmi penuh dengan soal negara dan agama dengan En. Ishtiaq. Balqishah gelisah. Perkara itu disedari oleh Zulhilmi. Lupa Balqishah itu tetamu mereka yang mesti dimuliakan.

“Puteri Balqishah, sudah makan tengahari?” Zulhilmi berbasa basi.

“Panggil saya, Qish. Belum. Ibu mengesa saya ke mari setelah sejam sampai ke sini.”

“Kalau macam itu, kita pergi ke restoran di pekan sahajalah. Nanti saya mesejkan ibu, kita makan di pekan.” Cadang Zulhilmi.

“Baik, Tuanku Zulhilmi.” Terbit senyuman menawan dari Balqishah kerana perutnya telah lama menahan perit kelaparan.

“Just call me, Zul.” Zulhilmi tersenyum.
……………………………………………………………………………
“Makanlah. Selepas makan, saya bawa awak berjalan-jalan di sekitar pekan ini. Kalau awak nak beli apa-apa yang berkenan pun boleh. InsyaAllah, saya belanja.” Zul mempersilakan.

Restoran Red Muslim yang dipilih Zulhilmi amat unik. Selain merah yang pasti menjadi temanya, biasanya restoran-restoran mempamerkan kumpulan muzik tapi restoran ini mempamerkan alunan beberapa qari yang sangat merdu suara mereka mengalunkan qasidah. Amat menenangkan tapi menjanggalkan buat Balqishah yang berada di dunia barat selama 10 tahun. Dirinya juga seperti dalam kereta tadi. Zulhilmi hanya asyik berborak dengan En. Ishtiaq sambil makan. Tapi, Balqishah malas ingin memikirkan kerana perutnya yang sangat lapar. Akhirnya, dia menikmati hidangan di depan matanya. Wah! Sedapnya!

“Ayah Ishq boleh temankan Qish? Saya nak berjalan ambil angin sebentar. Apa-apa yang Qish mahukan, ayah Ishq tolong layankan ya.” Zulhilmi meminta.

“Baiklah, Zul.” Dan Zulhilmi berjalan membawa haluannya sendiri.

Kakinya melangkah ke Masjid Zulrashid yang dibina bersempena nama ayahandanya semasa pemerintahan ayahandanya. Waktu Zohor yang bakal menjelang masuk dalam 30 minit lagi. Dia ingin solat berjemaah di masjid tersebut. Masjid tersebut membawa banyak nostalgia lama tentang ayahandanya. Ayahanda yang sangat dia sayangi dan kagumi. 

“Alhamdulillah.” Bersyukur Zulkarnain masih berkesempatan merehatkan diri sekejap sambil menunggu waktu Zohor. Dia mengulang hafazan yang telah dihafal bermula awal 7 tahun yang digalakkan oleh ayahandanya. Sekarang, dia telah menjadi salah seorang huffaz dalam negaranya. Sejurus kemudian, Zohor berkumandang.

Imam Hafiz melangkah. Pelik dengan kehadiran seorang pemuda pada awal waktu Zohor. Perkara yang sangat jarang dilihatnya. Kerana bukan mudah seorang pemuda di akhir zaman ini menjejakkan kaki di masjid apatah lagi di awal waktu. Terngiang hadis Rasulullah s.a.w yang mengatakan umat Islam itu akan berjaya dan ditakuti musuh apabila semua pemudanya solat Subuh dan Asar berjemaah di masjid. Baginya dari hadis ini, apa yang penting bukan waktu solat yang perlu dibahaskan, tetapi betapa pentingnya solat jemaah dalam kehidupan dan dalam menjamin kemakmuran serta kesejagatan penduduk dalam sesebuah negara.

“Anak…” Imam Hafiz menepuk bahu. Zulhilmi berpaling, memberikan senyuman.
Imam Hafiz terkejut.

“Anak, Tuanku Zulhilmi?”  bertanya Imam Hafiz. Zulhilmi hanya tersenyum

“Daulat Tuanku.” Imam Hafiz tunduk melutut merendahkan taraf dari rajanya.

“Eh, Imam Hafiz. Tak apa. Tak apa. Anggap saya sebagai orang biasa sahaja, pak cik.”

Imam Hafiz mengangkat muka. Teringat kerinduan lamanya. Dia terus memeluk Zul. Zul kaget.

“Pak cik teringat ayah Tuanku. Zulrashid. Setiap kali azan berkumandang, pastinya pak cik ternampak  tubuhnya sedang berteleku di sini sesibuk mana pun dirinya. Tempat yang sama tuanku berada. Maaf, pak cik hanya teringatkan Rashid.”

“Tak apa, pak cik. Jemaah semakin ramai. Pastinya menunggu pak cik sebagai imam. Jom, pak cik!” ajak Zul.

“Adakah Tuanku tidak keberatan untuk mengimamkan solat Zohor pada hari ini?” Imam Hafiz meminta.

Zulhilmi tidak sampai hati menolak. Akhirnya, dia mengangguk. Menitis air mata Imam Hafiz mendengar alunan ayat Quran Tuanku Zulhilmi. Baginya, Rashid telah berjaya membesarkan seorang anak menjadi seperti dirinya bahkan mungkin lebih baik lagi. Setelah disalami, Zulhilmi ditemui Imam Hafiz.

“Adakah Tuanku sudi menjejakkan ke pondok pak cik buat sekejap? Memeriahkan pondok pak cik pada petang ini?” pinta Imam Hafiz.

“Pak cik, jangan panggil saya Tuanku. Panggil sahaja saya Zul sahaja. Itu permintaan saya.”
Imam Hafiz tersenyum lalu mengangguk.

“Jom! Mungkin pak cik pun boleh kongsikan banyak ilmu agama berharga pak cik kepada saya.” Mereka berdua kelihatan berjalan beriringan menuju ke sebuah pondok tidak jauh dari masjid tadi.

Rumah kayu itu amat sederhana. Hanya perkakas perumahan asas yang kelihatan. Serta sekeping puisi yang dibingkaikan.

“Zul duduk dahulu ya. Pak cik ingin memberitahu isteri pakcik tentang kedatangan Zul.” Zul hanya mengangguk. Berdiri di hadapan puisi yang digantung. Puisi yang sama. Sama seperti yang didengarinya pada malam semalam. Tapi, siapakan pengarangnya? Dan siapa pendeklamasinya? Persoalan yang pastinya ingin ditanya kepada Imam Hafiz.

Telefonnya berdering. Panggilan dari Ketua Pertahanan negara. Pastinya ada perkara penting berlaku. Setelah bercakap seberapa ketika dengan Ketua Pertahanan Negara, telefon dimatikan. Imam Hafiz baru muncul.

“Pak Cik, saya minta maaf. Saya terpaksa pulang ke istana. Ada perkara berlaku yang mesti saya bincangkan bersama menteri-menteri saya. Ada masa dan nyawa, saya akan jejakkan kaki saya di sini lagi. InsyaAllah.”

“Anakku, Zulkarnain. Jaga dirimu. Moga Allah memudahkan urusanmu dan menyelamatkan kita semua. Dan anakku, bawa ini bersamamu. Guna semasa dirimu amat memerlukan pertolongan. Dengan izin Allah, ia akan membantumu.”

Imam Hafiz menghulurkan satu botol keputihan kepada Zul. Zul berlari pergi setelah mengucapkan terima kasih. Dan pada firasat Imam Hafiz, pastinya dia tidak dapat ketemu Zul lagi. Masanya hampir tiba dan dia pun mendapat tahu ada kejahatan menghampiri negaranya. Dia perlu menyelamatkan keluarganya.

“Aifa dan kasihku, Aisya!” Imam Hafiz memanggil isterinya dan anak perempuannya yang baru sahaja pulang menghabiskan pengajian agama di luar negara. Kelihatan mereka berdua menghampiri.

“Kemas barang kamu. Kamu berdua perlu lari dari sini. Aifa, jaga ibumu. Ayah ingin berperang bersama mereka jua. Selagi ayah ada kekuatan yang dipinjam oleh Allah, ayah akan menggunakannya untuk melawan kejahatan.”

Aifa dan ibunya, Aisya tidak berlengah. Sejak 3 tahun lepas, selepas kematian Tuanku Zulrashid, Imam Hafiz selalu mendapat firasat dari Allah, terutama bila ingin membuat sesuatu keputusan yang besar dalam sesuatu yang penting dalam hidupnya.

30 minit kemudian, bergema pengumuman dari istana supaya rakyat berkumpul. Mereka berkumpul di depan televisyen besar yang biasanya menjadi pengumuman langsung dari istana. Televisyen itu terpasang. Imej Tuanku Zulhilmi menjelma.

“Bismillahirrahmanirrahim. Dari Allah kita datang dan dari Allah jua kita kembali. Wahai rakyatku yang beta kasihi, pada hari ini, setelah beberapa puluh tahun kita diberi kenikmatan oleh-Nya, namun, pada hari ini, Dia memberi ujian buat kita. Moga kalian sanggup menghadapi ujian ini dengan tabah dan bersama-sama dalam jemaah. Beta akan terus kepada isu sebenar.Seangkatan tentera berkuda seramai 100,000 sedang mara ke negara kita serta 200,000 angkatan tentera berjalan kaki bersama beberapa kereta kebal sedang bergerak menuju ke negara kita. Itu tidak termasuk beberapa jet pejuang yang berlegar serta peluru berpandu kepunyaan musuh. Angkatan ini dipimpin oleh Raja Yabudi, yang telah selama beberapa tahun ini cuba menakluk negara-negara di sebelah selatan tanpa belas kasihan dengan membunuh tidak kira kanak-kanak, perempuan mahupun orang tua.

Beta sedang cuba meminta bantuan dari negara-negara seagama kita yang berdekatan, namun, hanya alasan dan penolakan yang beta terima. Maka, pada saat ini, kita terpaksa bergantung kepada Allah dan kekuatan kita sendiri. Tentera kita berjumlah 100,000. Pastinya, dengan bilangan kita tidak mampu menyaingi mereka. Namun, kita ada Allah sebagai penolong kita. Tapi, kita juga perlu usaha. Maka, Beta berharap, setiap pemuda dan lelaki dewasa di negara beta, tampil ke depan berperang bersama.  Dan yang lain, diminta mempersiapkan diri untuk melarikan diri ke dalam hutan selaju yang boleh. Perjalanan kalian akan diiring oleh beberapa pemuda yang beta tugaskan.
Moga kalian semua dalam lindungan Allah. Doakan negara kita.”

                Selepas pengumuman tersebut semua gempar. Semuanya bersiap untuk melarikan diri.Setelah beberapa waktu mengumpul semua pemuda dan lelaki dewasa yang ingin turut berperang, Zul berasa kecewa. Hanya suku daripada para pemuda dan lelaki rakyatnya yang datang melaporkan diri. Tapi, dia terus membuang rasa itu. Rasa yang tidak diperlukan dalam situasi genting seperti ini. Zul terus menyusun strategi sebijak yang mungkin.  Dalam masa dua hari lagi, musuh akan sampai di hadapan kubu negaranya. Zul hanya mengharapkan pertolongan Allah bersama dengannya.


                Pada saat tertekan itu, baru Zul sedar banyak yang perlu dia buat dalam mentadbir di samping memajukan sebuah negara. Tapi, hari ini tiada apa-apa yang dapat menebus kekhilafannya dalam mentadbir. Hanya mengharapkan Allah memberi dirinya dan rakyatnya peluang kedua dan menjadi khalifah Bumi yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment