Tuesday, January 21, 2014

Tuanku Zulhilmi (Bab 1 )




                Negara Pertama Jiwa kelihatan damai malam itu. Bintang dan bulan tidak malu untuk mengeluarkan cahayanya bagi dilihat manusia-manusia yang rindukan khayalan. Namun, pada satu saat, Zhuush! Satu angin kencang bertiup kuat pada malam itu di Negara Permata Jiwa. Kekecohan kedengaran sekejap di pekan kedengaran namun kekecohan itu akhirnya hilang beberapa minit setelah tiada angin kuat susulan yang melanda.

                Tuanku Zulhilmi tidak sedap hati selepas itu. Petanda yang buruk bagi negaranya. Namun, dia tidak tahu apa yang bakal melanda negaranya. Selama beberapa tahun ini, beberapa negara di selatan dunia telah berjaya ditakluk oleh Raja Yabudi. Seorang yang sangat kejam dan dikatakan mengamalkan ilmu hitam dalam pentadbirannya. Tapi, Raja Yabudi itu tidak pernah berada tetap di sesuatu tempat, seperti Raja Yabudi itu berasa tidak selamat di satu tempat pada waktu yang lama. Berita-berita bahkan satelit-satelit yang berada di luar angkasa tidak mampu menjejaki dia. Heboh seluruh dunia akan perkara tersebut ibarat ada kabus hitam atau awan hitam yang menutup pergerakan kesemua bala tentera Raja Yabudi.  

                Tuanku Zulhimi menghembuskan nafasnya dengan kuat. Dia bersedia untuk menyelusup keluar dari bangunan tinggi yang dipanggil istana tersebut. Sudah 2 minggu dia melakukan kerja ini. Bermula apabila dia menjumpai sebuah pintu di belakang rak bilik bacaan yang diwarisi dari datuknya, menembusi satu ruang yang diisi dengan meja tulis, sebuah lampu meja dan kerusi serta lengkap dengan makanan yang dijeruk cukup untuk 2 tahun bekalan. Dia memulas tombol pintu yang berada di dalam bilik tersebut. Cahaya memasuki matanya. Akhirnya, dia di sini. Tempat yang dia berada sekarang. 5 km daripada bangunan tinggi tersebut yang di panggil Istana Pelangi.

Zulhilmi berlalu pergi. Berlari. Tidak mahu dirinya disedari hilang dari katil besar tempat dia berehat. Menyelusuri jalan panjang yang hanya menjadi satu-satunya jalan dari istananya ke kawasan perumahan yang diduduki rakyat yang disayanginya. 15 minitnya, akhirnya dia sampai ke kawasan perumahan rakyatnya. Tiada seorang pun rakyatnya berkeliaran. Mungkin semuanya sedang nyenyak tidur dalam kedamaian.

Perkara pertama yang menjadi kebiasaannya apabila datang ke pekannya ialah menjejakkan kakinya ke sebuah taman yang terjaga rapi terletak tidak jauh dari pekan. Suka dia di situ. Tenang. Biasanya dia akan membaringkan diri buat 30 minit melihat bintang sebelum berjalan mengelilingi pekannya melihat-lihat rakyatnya.

“Allah itu Yang Maha Mengetahui,
Allah jua Yang Maha Menyelamatkan,
Namun,
Manusia itu selalu bongkak dan lupa,
Sentiasa membelakangi Tuhannya,
Hingga,
Sanggup membunuh sesama saudara,
Sanggup memaksa membiarkan mereka,
Terus,
Merayu-rayu sengsara membantu,
Hingga mereka sanggup mati,
Tidak sanggup berada di dunia fana ini,
Lagi…….”

                Telinganya tertangkap suara merdu yang mengungkap kalimat-kalimat kehidupan. Kali pertama dia mendengarnya. Bangun dari pembaringannya melihat bintang, mencari-cari  suara yang didengarinya. Terpandang bayangan seorang perempuan termenung jauh di atas rumput sambil memandang bulan yang bercahaya. Selendangnya mengibar-ngibar mengikut angin. Zulhilmi cuba mendekati.

Krik! Bunyi dahan patah dipijak olehnya mematikan kalimat-kalimat yang diucapkan oleh perempuan tersebut. Perempuan tersebut berpaling, sekilas melihat bayangan seorang lelaki, dia terus berlalu laju.

“Cik! Cik!” Zulhilmi cuba mengejar namun perempuan itu tidak mahu berhenti.

Akhirnya hilang ditelan kegelapan malam. Walaupun rasa ingin tahunya meninggi, namun, melihat kepada jam di tangannya, dia membatalkan hasrat untuk mengejar perempuan tersebut. Tugas sebagai pemimpin rakyatnya perlu didahulukan. Akhirnya, dia berjalan ke pekannya untuk memantau kawasan perumahan rakyatnya. Setelah selesai, dia kembali pulang ke bilik besarnya yang dihias oleh kemilau emas keputihan. Setelah sujud mengabdikan diri, dia mengatur dirinya mengambil rehat sebelum bangkit mengerjakan sebagai hamba-Nya pada Subuh nanti.
………………………………………………………………..................................................

“Tuanku, ibunda tuanku memanggil.” En. Ishtiaq memaklumkan apabila melangkah masuk ke dalam biliknya.

Umurnya baru 21 tahun. Namun, bahunya telah digalas dengan tanggungjawab untuk mentadbir negara sejak 3 tahun lepas setelah ayahandanya ditembak semasa berucap dalam kalangan rakyat. Ayahnya tidak pernah takutkan kepada sesiapa dan ayahnya tidak pernah meminta pengawal peribadi melainkan En. Ishtiaq sebagai orang kepercayaan untuk menjaga keselamatan dan sebagai kawan suka duka. Dan, En. Ishtiaq itulah yang menjadi penganti ayahnya sejak 3 tahun lepas di samping pengawal peribadinya.

Zulhilmi tersenyum. Mengangguk. Baru melepaskan lelahnya daripada belajar Statistik dengan mengerjakan 2 rakaat Dhuha. Zulhilmi tanpa lengah melangkah menuju ke bilik ibundanya yang tercinta.
“Bonda memanggil anakanda?” Kelihatan Zulhilmi yang kemas berpakaian melangkah ke dalam bilik ibunya.

“Ke mari anakanda. Kenalkan ini kawan ibu. Datin Yersinia. Baru sahaja pulang dari Australia sejak 10 tahun lalu bersama anak perempuannya.” Ratu Ilina  menunjukkan Datin Yersinia dan anaknya, Balqishah. Zulhilmi menyalami Datin Yersinia dan menunduk hormat kepada Balqishah.

“Sopan anak awak, Ilina. Rasanya 10 tahun dahulu masih menjadi anak yang degil dan keras kepala.”

“Kehidupan banyak mengajar dia, Yersinia. Apa kata Zul bawa Balqishah berjalan-jalan sekitar pekan yang berdekatan?”

                Zul hanya menurut. Tidak mahu memalukan ibunya yang melahirkan dirinya walaupun dirinya agak tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana masanya masih banyak perlu dicurahkan untuk berbakti kepada rakyatnya. Tapi, dia akur. Itu ibunya walaupun pandangannya dan ibunya amat berbeza.

                Zul banyak terdidik dengan sikap sederhana ayahandanya, Raja Zulrashid. Yang tidak sukakan kemewahan melampau, suka membantu orang lain, memperjuangkan hak-hak rakyatnya yang sepatutnya, selalu merasakan dirinya rendah dari sesiapapun dan hanya meletakkan Allah di hati. Berbeza dengan ibunya. Walaupun disuruh ayahnya memakai tudung, tapi ibunya enggan walaupun bajunya masih sopan. Ibunya juga kurang mengambil berat tentang solat seharian. Sukakan kemewahan. Mungkin kerana didikan keluarga diraja ibu yang lebih kebaratan. Disebabkan perkahwinan aturan, maka, dia yang dihasilkan. Dia akur akan takdir hidupnya. Sejak 3 tahun lepas, dia yang menggalas tugas ayahnya untuk tidak jemu mengajak ibunya ke pangkal jalan.

                Melihat kepada Balqishah. Istighfar dirinya. Bahunya yang putih terdedah. Bergaun serba kebiruan. Rambutnya yang panjang dibiarkan lepas. Cantik tapi kecantikannya tidak dijaga dengan sepatutnya. Zulhilmi menundukkan pandangannya. Menunduk hormat kepada ibunya dan meminta izin untuk mempersiapkan diri.
…………………………………………………………………………..........................................

“Can you give me a favour?” Zulhilmi bertanyakan Baqlishah.

Baqlishah mengangguk sopan. Zulhilmi membuat isyarat mata kepada En. Ishtiaq.

“Tolong pakai ini. Harap awak tak keberatan.” Zulhilmi mengambil kot biru sederhana panjang berbulu lembut yang sedondon warna dengan gaun Balqishah lalu menghulurkan kepadanya.Pipi Balqishah kemerahan. Segan. Terus mengambil kot tersebut unuk menutup badannya yang terdedah.

“Awak lebih cantik apabila kecantikan awak disimpan rapi untuk yang selayaknya.” Zulhilmi memberi senyuman manisnya sambil membuka pintu belakang kereta Mercedes merah kesayangannya.

“Silakan, Puteri Balqishah.” Setelah Balqishah masuk, pintu ditutup.  Balqishah berasa pelik apabila Zulhilmi bukan membuka pintu di sebelahnya tetapi membuka pintu di sebelah pemandu.

“Jom! Ayah Ishq pandu ya.”

En. Ishtiaq tersenyum dan mengangguk lalu mengambil tempat pemandu. Zulhilmi bukan seperti kebiasaan putera yang lain. Tidak suka untuk membiarkan En. Ishtiaq yang dianggap seperti ayahnya itu terasa seperti pemandu.

Di dalam kereta, borak bicara Zulhilmi penuh dengan soal negara dan agama dengan En. Ishtiaq. Balqishah gelisah. Perkara itu disedari oleh Zulhilmi. Lupa Balqishah itu tetamu mereka yang mesti dimuliakan.

“Puteri Balqishah, sudah makan tengahari?” Zulhilmi berbasa basi.

“Panggil saya, Qish. Belum. Ibu mengesa saya ke mari setelah sejam sampai ke sini.”

“Kalau macam itu, kita pergi ke restoran di pekan sahajalah. Nanti saya mesejkan ibu, kita makan di pekan.” Cadang Zulhilmi.

“Baik, Tuanku Zulhilmi.” Terbit senyuman menawan dari Balqishah kerana perutnya telah lama menahan perit kelaparan.

“Just call me, Zul.” Zulhilmi tersenyum.
……………………………………………………………………………
“Makanlah. Selepas makan, saya bawa awak berjalan-jalan di sekitar pekan ini. Kalau awak nak beli apa-apa yang berkenan pun boleh. InsyaAllah, saya belanja.” Zul mempersilakan.

Restoran Red Muslim yang dipilih Zulhilmi amat unik. Selain merah yang pasti menjadi temanya, biasanya restoran-restoran mempamerkan kumpulan muzik tapi restoran ini mempamerkan alunan beberapa qari yang sangat merdu suara mereka mengalunkan qasidah. Amat menenangkan tapi menjanggalkan buat Balqishah yang berada di dunia barat selama 10 tahun. Dirinya juga seperti dalam kereta tadi. Zulhilmi hanya asyik berborak dengan En. Ishtiaq sambil makan. Tapi, Balqishah malas ingin memikirkan kerana perutnya yang sangat lapar. Akhirnya, dia menikmati hidangan di depan matanya. Wah! Sedapnya!

“Ayah Ishq boleh temankan Qish? Saya nak berjalan ambil angin sebentar. Apa-apa yang Qish mahukan, ayah Ishq tolong layankan ya.” Zulhilmi meminta.

“Baiklah, Zul.” Dan Zulhilmi berjalan membawa haluannya sendiri.

Kakinya melangkah ke Masjid Zulrashid yang dibina bersempena nama ayahandanya semasa pemerintahan ayahandanya. Waktu Zohor yang bakal menjelang masuk dalam 30 minit lagi. Dia ingin solat berjemaah di masjid tersebut. Masjid tersebut membawa banyak nostalgia lama tentang ayahandanya. Ayahanda yang sangat dia sayangi dan kagumi. 

“Alhamdulillah.” Bersyukur Zulkarnain masih berkesempatan merehatkan diri sekejap sambil menunggu waktu Zohor. Dia mengulang hafazan yang telah dihafal bermula awal 7 tahun yang digalakkan oleh ayahandanya. Sekarang, dia telah menjadi salah seorang huffaz dalam negaranya. Sejurus kemudian, Zohor berkumandang.

Imam Hafiz melangkah. Pelik dengan kehadiran seorang pemuda pada awal waktu Zohor. Perkara yang sangat jarang dilihatnya. Kerana bukan mudah seorang pemuda di akhir zaman ini menjejakkan kaki di masjid apatah lagi di awal waktu. Terngiang hadis Rasulullah s.a.w yang mengatakan umat Islam itu akan berjaya dan ditakuti musuh apabila semua pemudanya solat Subuh dan Asar berjemaah di masjid. Baginya dari hadis ini, apa yang penting bukan waktu solat yang perlu dibahaskan, tetapi betapa pentingnya solat jemaah dalam kehidupan dan dalam menjamin kemakmuran serta kesejagatan penduduk dalam sesebuah negara.

“Anak…” Imam Hafiz menepuk bahu. Zulhilmi berpaling, memberikan senyuman.
Imam Hafiz terkejut.

“Anak, Tuanku Zulhilmi?”  bertanya Imam Hafiz. Zulhilmi hanya tersenyum

“Daulat Tuanku.” Imam Hafiz tunduk melutut merendahkan taraf dari rajanya.

“Eh, Imam Hafiz. Tak apa. Tak apa. Anggap saya sebagai orang biasa sahaja, pak cik.”

Imam Hafiz mengangkat muka. Teringat kerinduan lamanya. Dia terus memeluk Zul. Zul kaget.

“Pak cik teringat ayah Tuanku. Zulrashid. Setiap kali azan berkumandang, pastinya pak cik ternampak  tubuhnya sedang berteleku di sini sesibuk mana pun dirinya. Tempat yang sama tuanku berada. Maaf, pak cik hanya teringatkan Rashid.”

“Tak apa, pak cik. Jemaah semakin ramai. Pastinya menunggu pak cik sebagai imam. Jom, pak cik!” ajak Zul.

“Adakah Tuanku tidak keberatan untuk mengimamkan solat Zohor pada hari ini?” Imam Hafiz meminta.

Zulhilmi tidak sampai hati menolak. Akhirnya, dia mengangguk. Menitis air mata Imam Hafiz mendengar alunan ayat Quran Tuanku Zulhilmi. Baginya, Rashid telah berjaya membesarkan seorang anak menjadi seperti dirinya bahkan mungkin lebih baik lagi. Setelah disalami, Zulhilmi ditemui Imam Hafiz.

“Adakah Tuanku sudi menjejakkan ke pondok pak cik buat sekejap? Memeriahkan pondok pak cik pada petang ini?” pinta Imam Hafiz.

“Pak cik, jangan panggil saya Tuanku. Panggil sahaja saya Zul sahaja. Itu permintaan saya.”
Imam Hafiz tersenyum lalu mengangguk.

“Jom! Mungkin pak cik pun boleh kongsikan banyak ilmu agama berharga pak cik kepada saya.” Mereka berdua kelihatan berjalan beriringan menuju ke sebuah pondok tidak jauh dari masjid tadi.

Rumah kayu itu amat sederhana. Hanya perkakas perumahan asas yang kelihatan. Serta sekeping puisi yang dibingkaikan.

“Zul duduk dahulu ya. Pak cik ingin memberitahu isteri pakcik tentang kedatangan Zul.” Zul hanya mengangguk. Berdiri di hadapan puisi yang digantung. Puisi yang sama. Sama seperti yang didengarinya pada malam semalam. Tapi, siapakan pengarangnya? Dan siapa pendeklamasinya? Persoalan yang pastinya ingin ditanya kepada Imam Hafiz.

Telefonnya berdering. Panggilan dari Ketua Pertahanan negara. Pastinya ada perkara penting berlaku. Setelah bercakap seberapa ketika dengan Ketua Pertahanan Negara, telefon dimatikan. Imam Hafiz baru muncul.

“Pak Cik, saya minta maaf. Saya terpaksa pulang ke istana. Ada perkara berlaku yang mesti saya bincangkan bersama menteri-menteri saya. Ada masa dan nyawa, saya akan jejakkan kaki saya di sini lagi. InsyaAllah.”

“Anakku, Zulkarnain. Jaga dirimu. Moga Allah memudahkan urusanmu dan menyelamatkan kita semua. Dan anakku, bawa ini bersamamu. Guna semasa dirimu amat memerlukan pertolongan. Dengan izin Allah, ia akan membantumu.”

Imam Hafiz menghulurkan satu botol keputihan kepada Zul. Zul berlari pergi setelah mengucapkan terima kasih. Dan pada firasat Imam Hafiz, pastinya dia tidak dapat ketemu Zul lagi. Masanya hampir tiba dan dia pun mendapat tahu ada kejahatan menghampiri negaranya. Dia perlu menyelamatkan keluarganya.

“Aifa dan kasihku, Aisya!” Imam Hafiz memanggil isterinya dan anak perempuannya yang baru sahaja pulang menghabiskan pengajian agama di luar negara. Kelihatan mereka berdua menghampiri.

“Kemas barang kamu. Kamu berdua perlu lari dari sini. Aifa, jaga ibumu. Ayah ingin berperang bersama mereka jua. Selagi ayah ada kekuatan yang dipinjam oleh Allah, ayah akan menggunakannya untuk melawan kejahatan.”

Aifa dan ibunya, Aisya tidak berlengah. Sejak 3 tahun lepas, selepas kematian Tuanku Zulrashid, Imam Hafiz selalu mendapat firasat dari Allah, terutama bila ingin membuat sesuatu keputusan yang besar dalam sesuatu yang penting dalam hidupnya.

30 minit kemudian, bergema pengumuman dari istana supaya rakyat berkumpul. Mereka berkumpul di depan televisyen besar yang biasanya menjadi pengumuman langsung dari istana. Televisyen itu terpasang. Imej Tuanku Zulhilmi menjelma.

“Bismillahirrahmanirrahim. Dari Allah kita datang dan dari Allah jua kita kembali. Wahai rakyatku yang beta kasihi, pada hari ini, setelah beberapa puluh tahun kita diberi kenikmatan oleh-Nya, namun, pada hari ini, Dia memberi ujian buat kita. Moga kalian sanggup menghadapi ujian ini dengan tabah dan bersama-sama dalam jemaah. Beta akan terus kepada isu sebenar.Seangkatan tentera berkuda seramai 100,000 sedang mara ke negara kita serta 200,000 angkatan tentera berjalan kaki bersama beberapa kereta kebal sedang bergerak menuju ke negara kita. Itu tidak termasuk beberapa jet pejuang yang berlegar serta peluru berpandu kepunyaan musuh. Angkatan ini dipimpin oleh Raja Yabudi, yang telah selama beberapa tahun ini cuba menakluk negara-negara di sebelah selatan tanpa belas kasihan dengan membunuh tidak kira kanak-kanak, perempuan mahupun orang tua.

Beta sedang cuba meminta bantuan dari negara-negara seagama kita yang berdekatan, namun, hanya alasan dan penolakan yang beta terima. Maka, pada saat ini, kita terpaksa bergantung kepada Allah dan kekuatan kita sendiri. Tentera kita berjumlah 100,000. Pastinya, dengan bilangan kita tidak mampu menyaingi mereka. Namun, kita ada Allah sebagai penolong kita. Tapi, kita juga perlu usaha. Maka, Beta berharap, setiap pemuda dan lelaki dewasa di negara beta, tampil ke depan berperang bersama.  Dan yang lain, diminta mempersiapkan diri untuk melarikan diri ke dalam hutan selaju yang boleh. Perjalanan kalian akan diiring oleh beberapa pemuda yang beta tugaskan.
Moga kalian semua dalam lindungan Allah. Doakan negara kita.”

                Selepas pengumuman tersebut semua gempar. Semuanya bersiap untuk melarikan diri.Setelah beberapa waktu mengumpul semua pemuda dan lelaki dewasa yang ingin turut berperang, Zul berasa kecewa. Hanya suku daripada para pemuda dan lelaki rakyatnya yang datang melaporkan diri. Tapi, dia terus membuang rasa itu. Rasa yang tidak diperlukan dalam situasi genting seperti ini. Zul terus menyusun strategi sebijak yang mungkin.  Dalam masa dua hari lagi, musuh akan sampai di hadapan kubu negaranya. Zul hanya mengharapkan pertolongan Allah bersama dengannya.


                Pada saat tertekan itu, baru Zul sedar banyak yang perlu dia buat dalam mentadbir di samping memajukan sebuah negara. Tapi, hari ini tiada apa-apa yang dapat menebus kekhilafannya dalam mentadbir. Hanya mengharapkan Allah memberi dirinya dan rakyatnya peluang kedua dan menjadi khalifah Bumi yang sebenarnya.

The Gift

All in this dunya is not ours, they all are Allah's.

Assalamualaikum w.bt. Bismillah...
Sudah lama tidak menulis blog. Sibuk dimainkan oleh pusingan dunia.

OMG!OnG

Yup, I'm already in my 3rd posting of clinical years. Obstetrics & Gynaecology. Posting ini agaklah penatnya, tapi penatnya lain dari penat Internal Medicine (IM). Penatnya posting ini untuk menunggu melengkapkan 15 normal delivery of baby. Seems easy, but not as easy as I thought. Tapi, penat-penat posting ini, setiap posting itu ada pengajaran kepada aku. Kalau dalam IM, patient di situ yang menyedarkan betapa kedua ibu bapa sanggup bersakit untuk anak-anak mereka, manakala di posting OnG, aku belajar betapa tenangnya berada dalam keadaan dipenuhi bayi-bayi yang masih suci, belum berdebu sedikit pun. Sangat tenang memandang muka mereka tidak kira bangsa apapun bayi tersebut.

Hidup ini dimulakan dengan tangisan, diisi dengan tangisan dan diakhiri dengan tangisan

Ayat hukama yang sering didengari oleh kita. Tapi, setiap tangisan itu jika kita melihat dari kaca mata seorang hamba, sebenarnya ia bukan sekadar satu tangisan. Ia satu ujian, tanda bahawa kita adalah hamba-Nya yang kerdil, yang amat memerlukan bantuannya, yang tidak layak untuk meninggi diri setinggi mana pun pangkat yang kita miliki.

Dunia ini adalah dari kaca mata apa yang kita lihat

It's all depend on ourselves. Jika kita melihat dari segi seorang yang ingin jadi kaya, maka, kita akan leka dalam mencari harta dunia semata. Jika kita melihat dunia ini adalah tempat untuk berseronok, memang hidup kita akan dipenuhi dengan hiburan semata. Jika kita melihat dunia ini adalah tempat untuk mengumpul dan bersusah payah untuk menempatkan diri kita di syurga nanti, maka, kita akan rela untuk bersusah payah, menurut segala perintah Allah dan melawan segala rasa nafsu kepada dunia yang berlebihan, supaya Allah menempatkan tempat kita di syurga. InsyaAllah.

Dunia, semua itu pemberianNya. Ibadah yang kita lakukan, bukan untuk Allah, hakikatnya untuk kita.

Terngiang lagi bila aku membaca sebuah kisah Nabi s.a.w apabila ditanya mengapa Baginda sanggup solat malam sehingga bengkak kaki sedangkan Baginda ialah Pesuruh Allah yang dijanjikan syurga, Baginda menjawab, "Salahkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan pemberian Allah kepadaku?"

Reflect to ourselves. If the prophet really appreaciate the gift from Allah, why shouldn't us?

Allah,
Aku rindu akan hidayah-Mu
Aku rindu rasa tenang yang diberi-Mu
Aku tahu aku penuh dengan debu
Bantulah daku menyucikan diriku
Walaupun diriku penuh dicalit kehitaman
Tapi janganlah Dikau campakkan rasa putus asa 
Agar aku tidak menyerah untuk bertaubat
Kembali ke pangkal jalan-Mu



Tuesday, November 19, 2013

Kehidupan Anak & Ibu Bapa


Maka, apabila kamu bersyukur, Allah menambahkan nikmat kepadamu. Jika kamu bersabar, Allah memberikan ganjaran pahala kepada dirimu. 

Kali pertama, aku tidak tahu mengapa. Allah mendetikkan diri untuk meng'clerk' makcik tersebut. Dan Dialah jua yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Seorang nenek, berumur 80 tahun. Berkahwin 2, namun anaknya seorang. Tidak ada anak atau cucukah? Tidak! Semuanya diambil Allah dalam jangka masa yang sangat singkat. Anak perempuannya yang seorang, setia menunggu sang ibu yang dimamah usia.

Dan Allah jua menghantar aku kepada seorang pakcik itu. Umur, 73 tahun. Anak 3. Namun, tidak seorang pun yang sanggup menunggu ayahnya di hospital. Ibunya pula sakit tua di rumah. Siapa yang menjaga? Aku tidak sanggup bertanyakan. Pak cik mula berair mata bila aku bertanyakan tentang anak-anaknya.

Aku tidak tahu kondisi mana yang lebih baik. Tapi, Allah mengetahui mana yang lebih baik bagi mereka. Dan, Allah membuka mataku. Setia dan kasih sayang seorang anak itu amat didamba oleh ibu bapa terutama apabila menjengah usia tua.

Quote seorang sahabat istimewaku: " Salah satu pengisian dalam khutbah Jumaat minggu lepas. Petanda awal anak akan derhaka kpd kedua ibubapanya adalah apabila ibu bapa bertanyakan khabar terhadap anaknya. Sedangkan anaknya yg patut bertanya khabar dahulu kpd ibu bapa (Imam Ghazli)"

Cerita aku

Setelah memasuki alam universiti, barulah aku mampu bersyukur dikurniakan kedua ibu bapaku. Mungkin di mata orang lain mereka tidak sempurna, tapi bagiku mereka amat sempurna. Lumrah rumahtangga, pasti ada tawa gembira dan sedih kecewa. Dan, kita sebagai anak, pastilah melalui kondisi itu.

Dulu, di bangku sekolah rendah. Aku memang tidak mengerti apa. Baba yang bekeng. Umi yang kesibukan. Tapi... kenangan-kenangan kecil inilah yang melekat di memori aku sampailah sekarang.

Di sebalik garangnya Baba, rotan dan tangannya tidak pernah melebihi bahagian betis. Dan 'hadiah' yang diterima semasa kecil, bila difikirkan balik semasa besar, diri mampu menerimanya. Baba tidak pernah jemu membersihkan hidung si kecil yang nakal ini setiap kali ke tadika dan sekolah rendah. Baba juga tidak pernah lupa membawa si kecil ini makan pagi dan membeli bekalan kuih utk dibawa ke sekolah. Akhirnya, tabungku asyik penuh setiap tahun.

"Baba tak sekolah tinggi. Sijil Menengah Rendah pun tak berpeluang untuk ambil. Tapi, Baba nak anak-anak Baba berjaya. Baba juga tak pandai mengaji Quran, dan Baba harap bila satu hari lagi, ada bekalan yang dikirmkan kepada Baba nanti"-Baba

Bila aku teringat akan kata-kata ini, air mata aku pastinya bergenang. Berfikir, mampukah aku?

Umi, di sebalik kesibukannya, Umi tidak pernah lupa menyediakan makan mingguan dan baju raya setiap tahun. Dan semasa kecil, aku mengaku tidak pernah rasa rapat dengan umi, mungkin disebabkan kesibukan. Tapi, bila umi pencen, aku dapat merasai masa yang umi cuba luangkan bersama-sama anaknya sekarang.

Ingat lagi, saat aku pulang ke rumah. Pulang dengan hati yang tidak tenang. Hati seorang remaja, yang tersuka kepada seorang remaja lelaki. Kawan sekelas pula itu. Saat itu, di bilik solat, air mata ku mengalir. Umi baru selesai solat. Memandangku lalu membelaiku. Air mataku lantas laju mengalir. Bila esakku reda sedikit, barulah umi tanya kenapa.

Saat itu, walaupun segan, tapi aku paksa diri meluahkan kepada umi. Dan beban dalam hati itu, semakin ringan. Nasihat umi, "Itu perkara biasa Fah. Tapi, waktu ini Fah prepare je diri Fah. Jangan pernah meluahkan Fah suka dia, biarlah pada satu hari nanti bila dia memang sukakan Fah, dia sendiri yang datang. Lagipun, dia lelaki. Dan, Fah perempuan. Nanti akan tiba jua waktunya." Dan, sampai sekarang aku menuruti nasihatnya.

Anak-anak, jika tak ditanya kepada ibu bapa, ingin ditanya kepada siapa lagi? Anak-anak, takkan dari kecil sampai besar ingin menyusahkan ibu bapa lagi?

Kepada kita, seorang anak. Jadilah seorang anak yang merupakan permata kepada ibu bapa. Yang mendoakan serta menenangkan. Moga, kita tergolong dalam ahli syurga yang menyayangi kedua ibu bapa kita.

Wallahua'lam.




Sunday, November 17, 2013

Perlukah Berhenti?



Si Dia. Bukan sesiapa, tapi  kenapa aku tertarik padanya?

Dia, aku tidak yakin akan agamanya, perlukah aku meninggalkannya atau mengajaknya?
Tapi, dia lelaki. Lelaki itu tinggi egonya. Mengajaknya? Allahu Akbar, banyak helah dan alasannya.

Maka, aku? Dalam dilema.

Kata hikmah penulis yang aku minati; Kalu cinta, mestilah ingin ke syurga bersama-sama. Bukan menariknya ke neraka.

Menambahkan dilema aku lagi. 
Aku ingin berhenti, aku ingin mematangkan diri dan aku ingin menjadi muslimah yang menjaga batasan ikhtilat.
Tapi, rasa sayangku membawa kearah yang aku tahu Allah tidak meredhai.

Mengapa aku bimbang jika satu hari si dia menjadi milik orang lain sedangkan Allah itu pemegang sang hati?
Mengapa aku bimbang untuk berhenti membalas mesej jika tahu mesej itu tidak membawa aku dan dia ke syurgawi?
Mengapa aku menjebakkan diriku ke dalam rasa ini, hanyut dengan rasa ini jika sedar ia akan merosakkan masa muda yang berharga itu menjadi muslimah dan hamba Allah yang sejati?

Allah, hadirkan dan istiqamahkan rasa hijrahku. Agar aku sentiasa menjadi hambaMu yang memilih jalan yang Dikau redhai. Walaupun hati dan nafsuku ke arah kiri, Engkau tariklah aku ke kanan untuk memberikan hatiku ini kembali kepada-Mu.

Rabbi, aku makin lemah tanpa Engkau di sisi.... Apatah lagi, tanpa cinta Engkau yang lebih menguasai berbanding cintaku kepada hamba-Mu itu, Ya Rabbi.

Be Analyzer to Islam


Apabila diri semakin membesar

Allah memberi beberapa amanah tambahan
Untuk mematangkan pemikiran dalam tugasan
Bahkan cara kita berurusan dengan orang lain
Takkan pemikiran dan cara kita masih sama
Dari tahun lepas tanpa tanggungjawab tambahan
Dengan sekarang yang amanah semakin bertambah

Hubungkan aliran-aliran neuron dalam otak
Untuk memikirkan mana yang baik dan buruk
Memilih keputusan atau menambahbaik keputusan
Bukan hanya menurut sahaja arahan membuta tuli
Tanpa penganalisisan..

-Islam need the analyzer and deep thinker character in Muslim self-
To me and you
HaffiRaZa 3.44 am, 17/11/13

Assalamualaikum w.b.t

Coretan di atas saya ukir untuk renungan adik junior merangkap penolong setiausaha yang telah menjadi Setiausaha 1 untuk sesi MSC 2013/14. 

Mungkin, dia perlukan masa. Yang pasti, saya di sini ingin beliau lebih memahami hidup realiti. Dia memang seorang yang kuat dan mudah belajar. Tapi, mungkin dia memerlukan lebih masa dalam membuat keputusan.

Sejak saya ketemui dia tahun lepas, telah saya anggap dia sebagai seorang adik. Dan sayang saya kepadanya ibarat seorang kakak. Kalau dibolehkan, ingin diambil sebagai adik ipar ^_^V

Masa kita mencukupi, jika kita gunakan sebaiknya. Tapi, mahu atau tidak, itu yang menjadi permasalahan diri sendiri. ='(

Wallahua'lam.

Saturday, November 16, 2013

Saya seorang Pemuda


Assalamualaikum w.b.t
 Dah lama tak menulis. Nak dikatakan sibuk, taklah jua... disia-siakan dgn benda-benda yang tak sepatutnya mungkin.

Pemuda, masa yang berharga

Kekadang terfikir, banyaknya masa yang dibazirkan dengan kemalasan dan suka akan bersenang-lenang. Sedangkan, dunia itu adalah tempat untuk bekerja keras, akhirat jua tempat utk beristirehat sebenar.

Orang kata, bila diberi amanah atau jawatan, kita kan lebih menghargai masa. Saya mengeluh. Susahnya nak istiqamah akan perubahan yang baik. Perubahan yang buruk, masha Allah.. mudah sahaj melekat kat diri.

Saya tahu masa itu amat berharga, tapi saya masih dalam kelekaan.
Rugi. Saya tahu itu semua. Tapi, bergerak ke arah itu? Tarik nafas panjang.

Usaha dan akan terus usaha walau asyik jatuh bangun, jatuh bangun sekali pun. Walaupun kekadang rasa jua menyampah kenapa kena lebih baikkan diri, tapi, sedar bahawa diri ini siapa.

Hamba Allah. Lemah tapi kita jua,Khalifah Allah. Kuat kerana Allah. Jangan kata kita tewas selagi kita berpegang bahawa Allah akan sentiasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia inginkan.

Monday, November 4, 2013

Selamat Hari Lahir, Baba


Dirimu sentiasa gigih merangkak
Walaupun duri-duri melingkari kehidupan
Dirimu sentiasa tabah meniti
Walaupun dikau sehari-hari merasa lemah kedilemaan
Dirimu sentiasa sabar memanjati
Walaupun setiap hari disakiti manusia di sisi

Baba,
Dikaulah idol ketabahan jua keberanian
Dikaulah model pemimpin bahkan penuh kebertanggungjawaban
Dikaulah raja yang menawan hatiku sejak kecil
Disebabkan prinsip dan disiplinmu
Yang mencorakkanku bagi bekalan kehidupanku

Dengan sifatmu itu Baba,
Ku tahu disebaliknya dikau menyayangiku
Walaupun tiada lafaz 'sayang' yang diucapkan
Ku tahu dikau mengambil berat akanku
Bila dirimu menyuap ubat semasa daku kelemahan
Ku tahu disebaliknya bahawa hatimu yang lembut
Menyikat rambutku menyelimuti daku
Bila diriku kekecilan

Baba,
Di sini dan saat ini,
Aku merinduimu
Dulu, Kini dan selamanya
Aku tetap meyayangimu
Sebagaimana dirimu menerima daku seadanya
Dikaulah baba kesayanganku seadanya


'Selamat Hari Lahir Yg Ke -61'
Dari anakmu dan sentiasa anakmu; Nur Iffah Illani bt Mohd Rasidi